KUCHING: Rang Undang Undang (RUU) Kanun Tanah Pindaan 2022, diluluskan sebulat suara selepas bacaan ketiga di Dewan Undangan Sarawak, pada hari ini.
Kelulusan RUU berkenaan akan menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama mempunyai perundangan bagi membolehkan industri minyak dan gas mematuhi keperluan antarabangsa dalam strategi global untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Ia juga akan membolehkan kerajaan negeri mengawal ruang udara termasuk penggunaan spektrum.
Pindaan itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali ketika membentangkan rang undang-undang itu pada bacaan kali kedua hari ini di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di Kuching.
Jelas Hasidah, RUU itu nanti akan memastikan spektrum ruang udara digunakan selaras dengan rancangan Sarawak, terutama untuk penubuhan dan penambahbaikan infrastruktur telekomunikasi Sarawak.
“RUU itu akan menyediakan hak kawal selia negeri ke atas spektrum untuk memastikan syarikat penyedia perkhidmatan meluaskan liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar.
“Ini penting supaya rakyat kita di kawasan luar bandar tidak ketinggalan,” katanya semasa perbahasan cadangan pindaan itu.
Beliau juga menegaskan bahawa pindaan rang undang-undang itu bertujuan untuk mengawal selia penggunaan tanah untuk simpanan karbon oleh syarikat minyak dan gas.
“Saya juga ingin membuat penjelasan yang diminta oleh ADUN Padungan mengenai hasrat kami untuk membentangkan pindaan itu benar-benar bertujuan penggunaan tanah untuk simpanan karbon oleh syarikat minyak dan gas.
“Dan meminta hak kawal selia kami untuk mengawal spekturm (dengan meluluskan rang undang-undang ini) tidak konflik dengan persekutuan,” katanya ketika menjawab Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen dalam perbahasan cadangan pindaan Rang Undang-undang Kanun Tanah di persidangan DUN Sarawak hari ini.
Bagaimanapun Chong, dalam perbahasannya hari ini, berhujah bahawa perundangan mengenai penggunaan spektrum di ruang udara negeri mungkin disifatkan sebagai tidak sah kerana ia bercanggah dengan hak DUN untuk menggubal perkara yang diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan dengan Senarai Negeri, Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama.
“Saya tidak membantah kerajaan negeri cuba mendapatkan hasil tambahan, tetapi kita terikat dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mana-mana undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan akan dianggap tidak sah.
“Jika anda melihat senarai persekutuan, kuasa di bawah bidang kuasa persekutuan, bagi spektrum saya percaya ini akan jatuh di bawah Perkara 10 Senarai Persekutuan yang berkaitan telekomunikasi dan pengangkutan,” katanya dalam perbahasannya.
Beliau berkata walaupun tiada peruntukan di bawah Senarai Negeri atau Senarai Bersama yang menyatakan spektrum di bawah hak negeri, beliau mencadangkan kerajaan negeri perlu menggunakan kuasanya sebagai ‘kingmaker’ untuk mendesak pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya mencadangkan jika kerajaan negeri benar-benar mahu menggubal undang-undang dan mendapatkan hak ke atas spektrum yang melepasi ruang udara Sarawak, maka cara yang betul ialah membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Parlimen terlebih dahulu sebelum menggubal rang undang-undang dan mendakwa kita mempunyai hak. atas spektrum.
“Kita mempunyai menteri undang-undang persekutuan GPS di sana dengan meminda jadual kesembilan, atau sekurang-kurangnya meletakkan negeri di bawah senarai serentak.
“Justeru, saya berpendapat pembentangan terhadap pindaan RUU ini dan tuntutannya mempunyai hak untuk menggubal undang-undang dan mematuhi undang-undang lebih seperti cara ‘kampung’ untuk mencari kuasa,” tegasnya.-UTUSAN