MELAKA: Semua persatuan wartawan harus bersatu dalam satu gagasan induk tanpa menghilangkan identiti asal entiti masing-masing.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana terdapat banyak persatuan wartawan di negara ini dilihat hampir kehilangan fokus.
“Masing-masing terlalu fragmental dan sudah nampak adanya tanda-tanda ke arah itu. Saya kata tidak semestinya lemah kerana banyak persatuan, tetapi lazimnya apabila banyak akan hilang fokus. Saya dah nampak ada sedikit tanda-tanda sedemikian.
“Jadi sementara kita boleh mengekalkan semua persatuan yang ada dalam satu bentuk payung, badan, majlis atau persatuan kebangsaan. Ia akan dapat menggabungkan semua persatuan-persatuan tanpa menghilangkan identiti dan status persatuan sedia ada.
“Semua persatuan mesti bersatu untuk membentuk (gabungan) yang lebih kuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan penutupan Forum Media Nasional sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 di sini hari ini.
Hawana 2022 diadakan di Bandar Bersejarah Melaka bermula semalam sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan petugas media membantu membangunkan dan mengukuhkan perpaduan negara.
Sementara itu, Annuar menjangkakan Hawana 2022 akan melahirkan beberapa resolusi baharu ke arah mengangkat profesion kewartawanan.
Menurutnya, wartawan juga terlibat dalam proses pembangunan negara dan kerana itu, tanggungjawab tersebut tidak wajar hanya diletakkan di bahu persatuan.
“Ia mesti ada satu bentuk sinergi antara kerajaan terutama daripada segi memudahkan dan juga memberi beberapa insentif permulaan supaya dunia kewartawanan itu sama-sama kita perbaiki,” jelasnya. – UTUSAN