Perdana Menteri Singapura terima darjah SPMJ - Utusan Malaysia

Perdana Menteri Singapura terima darjah SPMJ

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan darjah kebesaran SPMJ kepada Lee Hsien Loong dalam istiadat di Istana Besar Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan darjah kebesaran tertinggi negeri ini kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk kepada Hsien Loong.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada isteri Perdana Menteri Singapura itu, Ho Ching yang membawa gelaran Datin Paduka.

Titah Sultan Johor, pengurniaan darjah berkenaan sebagai menghargai usaha Hsien Loong yang terus mengukuhkan hubungan persahabatan erat antara Johor dan Singapura yang telah terjalin sekian lama.

“Hubungan Johor dan Singapura terjalin sekian lama dan pengurniaan darjah kebesaran tertinggi dari Istana Johor ini terus mengukuhkan hubungan dua hala. Saya juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura di atas peranan beliau selama ini dalam terus mengeratkan hubungan Singapura dan Johor,” titah baginda di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung secara penuh istiadat di Istana Besar Johor Bahru hari ini turut disaksikan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Istana Johor sebelum ini pernah mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa pemimpin republik itu sebagai lambang persahabatan dan hubungan erat antara Johor dan Singapura.

Ini termasuk bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew yang dikurniakan SPMJ pada 9 April 1984 bersempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-52 Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya