SEREMBAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya terbabas sebelum melanggar bahagian badan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 253.5 Lebuhraya Utara-Selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian pada pukul 11.50 malam itu, mangsa berusia 19 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha dalam perjalanan dari Senawang menuju ke arah Pedas di sini.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai sedang menunggang di lorong paling kanan cuba memotong sebuah treler, namun hilang kawalan lalu terbabas melanggar bahagian badan treler tersebut. Ini menyebabkan penunggang motosikal itu jatuh di atas jalan raya dan digilis oleh treler terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Nanda, kemudian datang sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang wanita berusia 38 tahun dari arah belakang yang tidak sempat mengelak.
“Pemandu Proton Persona itu disyaki terlanggar mangsa yang terbaring di atas jalan raya. Akibat kemalangan, mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Jelas Nanda, pemandu kereta Proton Persona bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) bagi tujuan bedah siasat. Sehingga kini, pemandu treler sedang dikenal pasti dan dikesan bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










