GEORGETOWN: Pengusaha nasi kandar di negeri ini terpaksa menjual lauk ayam pada harga sama kerana bekalan yang diterima bersaiz kecil berbanding kebiasaanya.
Pengusaha Restoran Nasi Kandar Sulaiman, Mohamed Imran Mohamed Yasin berkata, situasi tersebut berlaku sejak Isnin lalu susulan kekurangan bekalan ayam sehingga menjejaskan pengedarannya.
Menurutnya, dia terpaksa menerima bekalan ayam bersaiz kecil tetapi dicaj dengan harga RM20 seekor berbanding saiz biasa pada harga RM13 seekor sebelum ini.
“Bekalan ayam memang tiada, pemborong mula hantar ayam saiz burung atau sebesar tapak tangan wanita sahaja sejak empat ke lima hari lalu.
“Ayam masih dipotong lapan bahagian dan harga jualannya masih kekal sama iaitu RM4.50 seketul.
“Bayangkan jika sebelum ini 15 ekor ayam bersaiz dua kilogram seekor sudah tidak muat diisi dalam satu beg plastik tetapi hari ini, jumlah yang sama belum memenuhi ruang bungkusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Lauk ayam
Sulaiman memberitahu lagi, setakat ini juadah lauk ayam di premisnya belum lagi terjejas dan masih mencukupi.
Sementara itu, Pengurus Restoran Nasi Kandar Raffe di Pulau Tikus, Mohamed Firdaus Mohamed Raffe berkata, pihaknya turut berdepan masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam selepas Hari Raya Aidilfitri.
“Harga seekor ayam segar dijual lebih mahal iaitu antara RM15.20 hingga RM15.50 seekor dengan saiz 1.6 hingga 1.7 kilogram pada minggu ini. Berbanding Ramadan lalu, harga ayam dijual RM14.20 seekor.
“Disebabkan perkara ini (ketiadaaan bekalan ayam) juga, kami terpaksa melanjutkan penutupan operasi pada Hari Raya Aidilfitri yang kebiasaannya hanya dua hari tetapi kali ini selama empat hari,” katanya.
Terdahulu, tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini mendapati, hampir separuh peniaga ayam menutup operasi lebih awal berikutan kehabisan bekalan keperluan utama tersebut.
Ketika ini, ayam standard masih kekal dijual pada harga RM8.90 sekilogram mengikut kawalan harga yang ditetapkan kerajaan.
Mereka mengatakan meskipun bekalan ayam masih ada tetapi rata-ratanya hanya sempat beroperasi maksimum dalam tempoh dua jam bermula 6.30 pagi memandangkan jumlah ayam yang dibekalkan berkurangan.- UTUSAN










