Peniaga ayam golek terkesan stok ayam terhad - Utusan Malaysia

Peniaga ayam golek terkesan stok ayam terhad

MOHD. Aliff Ahmad Rohaimi menunjukkan ayam golek yang dijual di gerainya yang terletak berhadapan dengan Hospital Jelebu.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Kekurangan bekalan ayam sejak kebelakangan ini memberikan kesan kepada  peniaga khususnya perniagaan berasaskan bahan mentah tersebut.

Seorang pengusaha ayam golek, Mohd. Aliff Ahmad Rohaimi, 32, berkata, sejak awal sambutan Aidilfitri lalu dia susah mahu mendapatkan bekalan ayam segar sehingga menjejaskan jualannya.

“Selepas Hari Raya Aidilfitri stok ayam mulai susut dan saya terpaksa menghadkan jualan iaitu 15 ekor ayam golek sahaja sehari.

“Sebelum ini, saya mendapatkan bahan mentah dari Pasar Kuala Klawang dan Pasar Besar Seremban namun ketiadaan stok ayam menyebabkan saya terpaksa mencari pelbagai lokasi bagi memenuhi keperluan tiga gerai jualan ayam golek milik saya di  daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ekoran masalah tersebut, Mohd. Aliff terpaksa menolak permintaan tempahan ratusan ekor ayam golek untuk dijamu dalam beberapa majlis rumah terbuka.

“Apabila terjadi isu kekurangan bekalan ayam ini, kami sebagai peniaga amat terkesan kerana sukar untuk berniaga. Lebih-lebih ketika musim perayaan seperti sekarang, ramai yang buat rumah terbuka dan kenduri pada hujung minggu,” katanya lagi.

Selain itu, kata Mohd. Aliff, dia kinii terpaksa menaikkan harga jualan makanan tersebut kepada RM30 seekor ekoran peningkatan terhadap harga ayam segar oleh pembekal.

“Sebelum ini saya peroleh ayam pada harga RM8.90 sekilogram namun penjual yang mula menaikkan harga sehingga RM9.80 sekilogram. 

“Bagaimanapun saya lega kerana pelanggan masih datang membeli ayam golek walaupun harga jualan naik sedikit kerana memahi situasi yang berlaku,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN