BENTONG: Banjir di Janda Baik kelmarin menyebabkan pengusaha aktiviti kenderaan lasak (ATV) menanggung kerugian RM200,000 selepas jentera dan peralatan ditenggelami air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Zaimi Mustaffa berkata, belum pun pulih akibat kerugian banjir Disember tahun lalu, ia kembali berulang sekali gus menambah beban kesusahannya untuk bertapak semula sebagai pengusaha aktiviti riadah dan rekreasi.
“Kejadian banjir tahun lalu saya berdepan kerugian apabila lebih 10 ATV dihanyutkan air ke dalam Sungai Kampung Pulau Santap, Janda Baik.
“Semalam, 25 buah ATV termasuk motocross dihanyutkan air dalam kejadian banjir kilat berikutan hujan lebat yang bermula pukul 4 pagi,” katanya di Kampung Santap di sini semalam.
Menurut Mohd. Zaimi, dia mula mencongak untuk memperoleh pendapatan semula dengan memulakan operasi pada hujung minggu ini selepas bulan puasa dan cuti Hari Raya Aidilfitri, tetapi terbantut akibat kejadian tersebut.
“Saya anggarkan kerugian hampir RM200,000 termasuk alat ganti, stor penyimpanan dan bengkel ATV juga turut rosak.
“Tidak tahu hendak kata apa lagi, sekarang ini berdepan tekanan bagaimana untuk memulihkan semula peralatan ini termasuk memulakan operasi riadah dan rekreasi yang sudah mendapat tempahan peminat aktiviti ekstrem ini,” katanya.
Cerita Mohd. Zaimi, ketika dimaklumkan oleh rakannya tentang paras air Sungai Santap mula naik, dia bergegas ke stor ATV pada pukul 5 pagi dan banjir melimpah masuk ke kawasan bengkelnya.
“Bila tiba di stor, saya hanya sempat menyelamat 10 buah ATV sahaja dan 25 buah lagi telah dihanyutkan air ke dalam Sungai Santap kerana arus sangat deras dan meningkat sedalam hampir satu meter kerana tidak menyangka kejadian ini begitu pantas,” katanya.
Dia berkata, sukan ekstrem menggunakan ATV sejak 10 tahun lalu cukup dikenali ramai pengunjung tertumpu di Janda Baik kerana berdekatan dengan Bandar Raya Kuala Lumpur dan entah bila akan pulih semula memandangkan kerosakan kenderaan itu sangat teruk.
“Saya sedih kerana perniagaan ini baharu sahaja bermula awal tahun ini dan ramai peminat sukan ekstrem ini sudah membuat tempahan tetapi apakan daya banjir kilat bertandang lagi. Saya reda ujian Allah,” jelasnya. – UTUSAN










