PETALING JAYA: Cuti perayaan Aidilfitri tidak menghalang para penghantar makanan untuk terus bekerja mengerah keringat untuk mendapatkan duit lebih sehingga ada yang mencecah RM2,000 dalam tempoh lima hari.
Kebanyakan mereka memperoleh imbuhan luar biasa menerusi perkhidmatan penghantaran makanan daripada pengendali restoran makanan segera.
Sebagai contoh, Fadhli Zaharudin, 32, yang sudah empat tahun bekerja sebagai penghantar makanan tetap memilih untuk bekerja sewaktu sambutan lebaran.
Tambah guru sekolah agama itu, tugasan sebagai penghantar makanan juga tugasan mulia kerana dapat memberi khidmat kepada orang lain dan sesuai dijadikan sebagai pekerjaan sampingan di kala kegawatan ekonomi.
“Memang saya sendiri memilih untuk kerja pada 1 dan 2 Syawal sebab dapat notis awal bonus RM2 untuk setiap penghantaran, jadi, untuk sepanjang minggu perayaan ini, saya dapat pendapatan sekitar RM1,500 sehingga RM1,700, cukup untuk bantu keluarga dan diri sendiri.
“Dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran untuk berkumpul, kedatangan saudara-mara ke rumah membuatkan tempahan semakin banyak, siapa yang mahu beratur panjang-panjang di kedai makanan? Jadi, kamilah yang mengambil tugas itu untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan, Muhammad Syafiq Mohd. Tajul Ariff, 29, tidak menafikan terkejut dengan imbuhan gaji sewaktu bertugas pada hari pertama Aidilfitri baru-baru ini berbanding yang diperoleh pada tahun lalu.
Katanya, meskipun pilu tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga, pemegang ijazah sarjana muda dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tetap dapat merasakan keseronokan melihat orang lain menyambut lebaran ketika menghantarkan makanan ke rumah mereka.
“Kita syok tengok mereka beraya meskipun kita berada atas motor, bila sudah petang perasaan pilu, teringat keluarga di rumah sudah mula hilang dan boleh fokus untuk teruskan ‘’mencari beras’ untuk keluarga.
“Kekurangan penghantar makanan yang membuatkan tempahan makanan kelihatan banyak, untuk hari raya pertama saya dapat hampir RM500 meskipun mula bertugas sekitar tengahari hari sehingga malam,” katanya.
Tambahnya, tempahan makanan meningkat sepanjang musim perayaan berkemungkinan disebabkan beberapa faktor dan salah satunya adalah kebenaran pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Purata pesanan untuk sehari saya boleh anggarkan adalah sekitar 25 ke 30 pesanan sehari pada musim hari raya ini, peningkatan pesanan kali ini mungkin disebabkan kebenaran pengeluaran wang KWSP daripada kerajaan kerana permintaan penghantar makanan amat tinggi.
“Kalau hari biasa, purata sehari bayaran diterima sehari adalah RM100 ke RM150 sehari. Raya ini, majikan menetapkan bonus tambahan buat setiap penghantaran sewaktu hari raya, jadi saya tidak melepaskan peluang ‘terhidang’ ini” ujarnya. – UTUSAN










