ALOR SETAR: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Datuk Johari Abdul gagal dalam cubaannya merebut jawatan Ketua Cabang PKR Sungai Petani pada Pemilihan PKR tahun ini.
Johari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri tewas kepada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min dengan majoriti 103 undi.
Ahli Parlimen Sungai Petani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun itu sekadar memperolehi 464 undi berbanding Simon yang mendapat 567 undi.
Seorang lagi pencabar, Mohd. Zaid Othman pula hanya hanya memperoleh 142 undi.
Keputusan pemilihan tersebut diumumkan menerusi laman web https:pemilihankeadilan2022.com semalam.
Sementara itu, Simon ketika dihubungi berkata, matlamatnya selepas memperkemaskan jentera serta kepimpinan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 yang mungkin akan berlangsung pada bila-bila masa.
“Bagi saya keadaan sekarang semuanya ‘okey’ kerana pemilihan ini merupakan satu proses biasa dalam sebuah parti demokrasi. Pemilihan ini dianggap sebagai satu pertandingan sihat dan selepas ini diharapkan semua pihak dapat kembali bergabung tenaga bagi mempersiapkan parti berdepan PRU-15,” katanya.
Jawatan Ketua Cabang Sungai Petani sebelum ini dipegang ADUN Sidam, Dr. Robert Ling Kui Ee yang kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 5 September 2020.
Sementara itu, bekas Pengerusi PKR Kedah, Che Mat Dzaher Ahmad turut tewas merebut jawatan Ketua Cabang Pokok Sena. Che Mat Dzaher yang merupakan bekas calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang hanya memperoleh 137 undi berbanding pemenang, Mohd. Altab Pa Ibrahim yang mendapat 181 undi.
Selain itu, bekas Naib Pengerusi PKR Kedah, Nasrul Omar Che Mansor turut mengalami nasib sama bagi perebutan sebagai Ketua Cabang Kubang Pasu. Beliau sekadar berada di tempat ketiga apabila hanya meraih 67 undi di belakang Azizi Azizan yang mendapat 99 undi dan Mohd. Zainuddin Osman yang memperoleh 71 undi. – UTUSAN










