PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian Malaysia menganggarkan pengeluaran durian di negara ini dijangka meningkat kepada 493,397 tan menjelang 2025 ekoran penggunaan teknologi tinggi.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Zahimi Hassan, unjuran tersebut berdasarkan trend positif yang direkodkan pada 2020 apabila sudah berjaya mencapai pengeluaran 390,635 tan.
“Banyak ladang durian sudah menggunakan teknologi pertanian pintar seperti sistem Internet Benda atau IoT dalam proses pengairan dan pembajaan,” katanya menerusi kenyataan di sini.
Meskipun tidak merujuk kepada mana-mana isu semasa, kelmarin Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah membayangkan harga buah itu bakal naik.
Durian premium popular jenis Musang King diramalkan boleh mencecah RM80 sekilogram di seluruh negara susulan isu penyusutan bekalan kerana faktor cuaca hujan berterusan di ladang.
Malahan baka Black Thorn atau duri hitam dijangka mampu mencapai paras RM100 sekilogram ekoran kekurangan bekalan dari Perak dan Pulau Pinang yang melepasi 50 peratus ketika ini.
Mengulas lebih lanjut, Zahimi berkata, pada masa ini kawasan penanaman durian berkeluasan 76,895 hektar dengan hanya 40 peratus atau 30,758 hektar yang ditanam varieti Musang King.
“Baka yang dikenali juga sebagai Raja Kunyit atau D197 itu turut jadi sumber kekayaan baharu negara dengan banyak dieksport ke pasaran berpotensi di pelbagai negara asing,” jelasnya.
Ketika ini Raja Buah itu menembusi China, Taiwan, Korea Selatan, Singapura, Vietnam dan Jepun selain pasaran bukan tradisi Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan 13 negara lain.
Berdasarkan rekod Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), nilai eksport pada 2016 lalu ialah sebanyak RM69.9 juta manakala pada 2020 pula telah melepasi RM144.7 juta.
Menariknya ujar beliau, permintaan global terhadap industri durian terutama produk sejuk beku dianggarkan bakal bernilai AS30 bilion (kira-kira RM132 bilion) menjelang tahun 2025.
“Malaysia mampu memenuhi permintaan tinggi kerana pensijilan Amalan Pertanian Baik yang diperkenalkan membuktikan pihak kerajaan amat prihatin dengan tanaman ini,” kata Zahimi.
Garis Panduan Pembangunan Durian di Tanah Bercerun yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian turut membantu ramai pengusaha secara lestari untuk mengurangkan risiko bencana.
FAMA juga bekerjasama dengan pihak kementerian untuk memperluaskan akses pasaran yang berpotensi dengan pelbagai promosi dan kempen kesedaran para pengguna di luar negara.
Dalam usaha elak berlaku lambakan durian dan kejatuhan harga seperti tahun lalu, agensi itu menyediakan 157 bilik sejuk beku bagi penyimpanan tahan lama isi berbentuk ulas dan pes.
Data terkini agensi itu pada 2020 menunjukkan Johor muncul sebagai pengeluar utama durian di Malaysia dengan keluasan 18,530 hektar dan pengeluaran 117,365 tan bernilai RM22 juta.
Diikuti Pahang dengan keluasan 13,363 hektar dan pengeluaran 96,692 tan bernilai RM18 juta serta Sarawak dengan keluasan 12,242 hektar dan pengeluaran 35,735 tan bernilai RM0.6 juta. –UTUSAN