fbpx

29 Jun 2022, 9:17 am

  TERKINI

Penduduk kecewa siren amaran banjir tidak berfungsi

PHILIPS Gomez menunjukkan hakisan tanah di tebing Sungai Linggi yang berlaku bersebelahan dengan sebuah rumah di Taman Happy Garden, Rasah di sini susulan kejadian banjir kilat yang berlaku malam kelmarin.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk tiga buah taman perumahan di Rasah dekat sini kecewa apabila siren amaran banjir tidak berfungsi ketika kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tersebut, malam semalam.

Wakil Persatuan Sepakat Penduduk Taman Moksum, Taman Rasah Utama dan Taman Happy Garden, Philips Gomez, 57 berkata, siren yang dipasang pada 22 Mac itu bagaimanapun hanyalah batu yang tidak berfungsi. 

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rahang, Mary Josephine Pritam Singh menerusi Facebook pada 22 Mac lalu, memberitahu pihak kontraktor sedang memasang siren di taman tersebut bagi mengatasi masalah banjir. 

“Bagaimanapun, kejadian banjir malam tadi, siren itu tidak berfungsi. Sudah tiga bulan siren itu dipasang namun jika tidak berfungsi apa gunanya? Sekarang penduduk terpaksa menghadapi masalah banjir berulang kali pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Philips, kejadian banjir kilat semalam adalah yang ketiga berlaku di taman-taman perumahan tersebut tahun ini.

“Sebanyak 40 buah rumah di Taman Happy Garden yang melibatkan anggaran 150 orang penduduk terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat  pada petang kelmarin yang menyebabkan air Sungai Linggi meningkat dan melimpah ke kawasan perumahan penduduk.

“Selain itu, terdapat sebuah rumah bersebelahan Sungai Linggi mengalami hakisan dan perlu diselesaikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik rumah tersebut, Thong Weng, 70, berkata, selepas berlakunya kejadian hakisan tersebut, rumah yang didudukinya itu tidak lagi boleh  didiami.

“Sudah 45 tahun saya tinggal di sebelah Sungai Linggi ini, namun kali ini paling teruk hakisan tebing berlaku. Saya agak risau kerana hujan lebat dan kejadian banjir yang berlaku turut menyebabkan rumah saya ditenggelami air hingga ke paras betis malam tadi,” katanya. – UTUSAN

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI