- Utusan Malaysia

Pendera dicadangkan bukan sahaja dijatuhi hukuman penjara tetapi juga hukuman sebat. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ibu bapa atau mana-mana individu terlibat dalam kes penderaan kanak-kanak patut dikenakan hukuman penjara bersekali dengan sebatan bagi menunjukkan kerajaan serius dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Khairuddin Mohad Sallehuddin berkata, beliau percaya hukuman itu sebagai cara terbaik untuk ‘mengajar’ pendera kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja memberi kesan terhadap fizikal malah mental mereka.

Menurut beliau, kes penderaan kanak-kanak terus meningkat setiap tahun walaupun pelbagai akta dan hukuman telah dikenakan ke atas pesalah penderaan kanak-kanak, selain Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 dan diwartakan pada 2016 dengan meningkatkan penalti denda penjara dan khidmat masyarakat.

 

Hukuman sedia ada

“Dalam keadaan ini bentuk-bentuk hukuman sedia ada sedikit pun tidak ‘menggentarkan’ pesalah kerana ia bukanlah hukuman yang berbentuk ‘kekerasan’ fizikal seperti yang mereka lakukan kepada mangsa dera. Jadi, adalah wajar jika hukuman penjara dan sebat dilaksanakan kepada pesalah penderaan kanak-kanak untuk membendung masalah ini.

“Mereka juga harus merasai hukuman ‘didera’ semasa menjalani hukuman tersebut. Sekurang-kurangnya dengan adanya hukuman sebatan ini mampu memberi ketakutan dalam diri ahli keluarga yang lebih dewasa sekiranya mereka ingin melakukan penderaan ke atas ahli keluarga di bawah jagaan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Semalam, akhbar Mingguan Malaysia mendedahkan, 70 peratus daripada 1,798 kes penderaan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun, pelakunya melibatkan ahli keluarga kepada kanak-kanak itu sendiri.

Daripada angka dilaporkan, 1,306 kes adalah ahli keluarga melibatkan 2,114 kanak-kanak menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi akibat sikap panas baran serta tidak sabar. Lebih mengejutkan, bapa kandung adalah ‘suspek’ tertinggi mendera mangsa iaitu 511 orang diikuti ibu kandung (470 orang), bapa tiri (119 orang), ibu tiri (47 orang) dan bapa atau ibu angkat (35 orang).

Terdahulu, terdapat pihak berpendapat hukuman sedia ada mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, adalah tidak mencukupi kerana hukuman dikenakan ke atas pendera dilihat tidak setimpal dengan perbuatan si pelaku yang meninggalkan kesan kekal kepada mangsa kanak-kanak dari aspek fizikal, seksual dan emosi.

Undang-undang kini belum memperuntukan sebatan bagi pendera kanak-kanak, sebaliknya, pindaan akta sama pada 2016 hanya menaikkan hukuman denda kepada RM50,000 dan 20 tahun penjara bagi kesalahan mengikut Seksyen 31 iaitu mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

Klise

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Aini Azeqa Ma’rof berkata, walaupun disifatkan biasa atau klise akan kepentingan komunikasi dalam aspek pengurusan emosi, namun, ia dilihat berfungsi untuk mengelakkan sifat marah dan panas baran sehingga mengundang kepada penderaan.

Katanya, sebagai individu pula, seseorang yang cenderung kepada sikap agresif dan mendatangkan kecederaan kepada orang lain perlu mengambil pendekatan ‘coping strategy’.

“Apabila rasa hendak marah, tarik nafas atau pun rasionalisasikan semula pemikiran. Dengan strategi ini, kita juga boleh mengamalkan kaedah lain seperti keluar dari persekitaran dan menghirup udara segar. Jadi, ia sebenarnya berbalik pada individu bagaimana seseorang mengawal emosinya,” katanya.

Mengulas lanjut, Aini Azeqa bagaimanapun berpendapat, tindakan undang-undang yang keterlaluan tidak membantu mengurangkan tahap kesedaran seseorang terhadap tindakan dera kerana ia hanya mengundang sikap dendam yang semakin menebal selain didorong pengalaman ‘pernah didera’.

“Sebenarnya, sistem sedia ada sekarang tidak membantu dalam memulihkan tingkah laku si pendera. Katakan kalau seseorang selesai menjalani hukuman penjara, dia macam lebih agresif. Bagi saya, kita perlu melihat semula dasar sedia ada untuk menangani masalah ini.

“Kena tahu juga, apa faktor yang menyebabkan seseorang itu mendera? Khusus bagi golongan lelaki, mungkin ia berkait masalah kewangan, sejarah lampau manakala perempuan pula kemurungan dan tertekan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN