fbpx

Pemilik kediaman KotaSAS, bakal nikmati gaya hidup pintar

PEMILIK kediaman bakal menikmati pengalaman berbeza dalam aspek kecanggihan teknologi yang disediakan rakan strategik KotaSAS, Wawasan Intact Properties dan GO Smart Lifestyle Systems, di perumahan KotaSAS di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB

KUANTAN: Kira-kira 4,000 keluarga yang akan menduduki rumah di kawasan perumahan KotaSAS dimiliki syarikat pemaju KotaSAS Sdn. Bhd. bakal menikmati kehidupan dengan gaya hidup pintar, dalam tempoh terdekat ini.

Melalui kerjasama strategik antara KotaSAS dan Wawasan Intact Properties serta GO Smart Lifestyle Systems, pemilik kediaman bakal menikmati pengalaman berbeza dalam aspek kecanggihan teknologi disediakan.

Pengarah KotaSAS, Datuk Shahrul Nizam Abdul Aziz berkata, setiap rumah dibangunkan di kawasan itu dilengkapi ciri keselamatan seperti kamera litar tertutup di dalam dan luar kediaman, sistem siren keselamatan, pagar automatik dan kemudahan internet tanpa wayar berkelajuan tinggi.

“Semua ini sudah disediakan dan pemilik boleh memilih untuk memasang sistem keselamatan tambahan yang dimahukan. Selain itu, setiap unit juga mempunyai sistem kawalan jauh yang disambung terus ke telefon pintar pemilik untuk mengawal penggunaan elektrik ketika mereka keluar untuk bekerja.

“Sistem disediakan itu didatangkan dengan pelbagai pakej bermula serendah RM1,999,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara KotaSAS, Wawasan Intact dan Go Smart Lifestyle di sini.

Projek pembangunan KotaSAS merangkumi kawasan seluas 848 hektar dan setakat ini kira-kira 4,000 kediaman sudah siap diduduki. 

Selain itu, KotaSAS juga menempatkan Pusat Pentadbiran Kerajaan Pahang yang baharu dan stesen persinggahan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL).

Mengulas lanjut, Shahrul Nizam berkata, melalui sistem pintar itu juga, pemilik kediaman tidak perlu bimbang jika terlupa menutup suis elektrik di rumah.

“Melalui teknologi tersebut mereka akan mendapat mesej pemberitahuan yang dihantar terus ke telefon pintar mereka. Dengan itu, tiada masalah jika kita terlupa atau kadang-kadang tak pasti dah tutup atau belum suis saterika sebagai contoh, ini kerana sistem akan maklumkan melalui ‘notification’ dan kita boleh kawal atau tutup suis itu melalui telefon.

“Selelas ini kita juga tidak perlu bimbang atau minta bantuan orang lain untuk memeriksa sama ada semua punca bekalan elektrik ditutup atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Wawasan Intact, Datuk Ng Choon Cheng memaklumkan projek pembinaan rumah menggunakan teknologi sistem binaan industri (IBS) di kawasan KotaSAS mengambil masa antara sembilan hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Katanya, sistem (IBS) bukan sahaja mempercepatkan proses pembinaan, tetapi turut memberi peluang kepada pemilik menduduki kediaman mereka mengikut tempoh dirancang. 

“Ia turut menawarkan konsep semulajadi iaitu konsep hijau, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan menjimatkan kos pembiayaan pinjaman rumah tanpa faedah. Setiap kediaman itu nanti akan dilengkapi sistem pintar seperti ditawarkan GO Smart Lifestyle dan terpulang kepada mereka (pemilik) untuk memasang sistem keselamatan tambahan itu,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!