PETALING JAYA : Pemandu Perodua Bezza yang memandu secara melulu di Jalan Kinabalu di sini, sehingga tular dalam media sosial, semalam sedang dikesan pihak berkuasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.59 pagi kelmarin, tular rakaman mengenai kejadian di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, video berdurasi satu minit 23 saat dimuat naik pemilik akaun Facebook yang memaparkan Perodua Bezza mengubah haluan dan mengundur.
“Kejadian membabitkan kereta berkenaan dan sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pemandu MPV sudah hadir membuat laporan polis dan kini pihaknya sedang mengesan pemandu kereta supaya tampil membuat laporan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat mengenai pemandu kenderaan terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat JSPT Sarjan Mohd. Safri Abdullah atau Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN










