KUALA TERENGGANU: Seorang pemandu bas ekspres direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes cabul penumpang wanita, semalam.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Hairul Azhar Mohamad mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Lelaki berusia 27 tahun yang merupakan bapa kepada dua anak itu diberkas sebaik sahaja bas dipandunya dari Kelantan tiba di Terminal Melaka Sentral di Melaka kira-kira pukul 10.30 pagi, semalam.
Kertas siasatan kes cabul itu dibuka Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu susulan kejadian berlaku di Ajil.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang dikatakan tidur bagaimanapun terjaga apabila menyedari badannya diraba oleh suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, pihaknya mendapat maklumat seorang wanita dicabul suspek ketika bas itu berhenti di Ajil.
Katanya, pihaknya kemudian meminta mangsa membuat laporan di Balai Polis Melaka Tengah pada pukul 12 tengah hari.
Kejadian itu turut dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menerusi satu klip video berdurasi 3 minit 41 saat di laman sosial Facebooknya.
Beliau menerima kiriman mesej daripada kenalan Facebook memaklumkan kejadian yang menimpa wanita itu dan memintanya membantu menyelamatkan mangsa. – UTUSAN