Pelesit rempit tersungkur di Pantai Seagate - Utusan Malaysia

Pelesit rempit tersungkur di Pantai Seagate

SEKUMPULAN pelesit rempit berlumba haram sambil melakukan aksi tunggangan 'ala superman' pada malam minggu di jalan Pantai Seagate, Bayan Lepas, Pulau Pinang mengundang padah apabila mereka ditahan polis awal pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Keterujaan sekumpulan pelesit rempit berlumba haram sambil melakukan aksi tunggangan ‘ala superman’ pada malam minggu di jalan Pantai Seagate di sini mengundang padah apabila mereka ditahan polis awal pagi tadi.

Mereka antara 50 penunggang motosikal termasuk pembonceng ditahan dalam satu operasi yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Zafri Zolkapli bersama lima pegawai dan 18 anggota mulai pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi tadi.

Lokasi Pantai Seagate menjadi ‘port’ panas kumpulan pelesit rempit mempamerkan aksi bahaya termasuk ‘ala superman’ dan ‘stunt’ (wheelie atau wheekang) berikutan laluannya yang lurus dan panjang.

Dalam operasi tersebut, kesemua penunggang motosikal terbabit gagal meloloskan diri berikutan laluan dari arah Batu Maung menuju pusat bandar terlebih dahulu dikepung anggota polis.

Mereka kemudiannya terpaksa menolak motosikal sambil diiringi polis selama sejam hingga ke Balai Polis Bayan Lepas.

Zafri berkata, operasi tersebut dijalankan ekoran aduan orang awam berhubung perlakuan kumpulan motosikal yang sering melakukan tunggangan secara berbahaya dan menimbulkan bunyi bising.

“Ada yang menunggang ala superman, meniarap atas motosikal dan mengangkat kedua-dua belah tayar motosikal. Aksi tersebut sememangnya bahaya pada diri sendiri dan orang awam.

“Dalam operasi tersebut, polis telah menahan 50 penunggang dan menyita 50 buah motosikal serta dua buah kereta. Sebanyak 150 saman atas pelbagai kesalahan juga telah dikeluarkan,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan penunggang motosikal terutama samseng jalanan supaya berhenti melakukan aktiviti yang mampu mengundang bahaya kepada diri dan orang awam.

Semalam, media melaporkan seorang pelesit rempit terpelanting dan terseret sejauh 10 meter selepas motosikal yang ditunggangnya di jalan Pantai Seagate dekat Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu di sini hilang kawalan dipercayai semasa melakukan aktiviti lumba haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya