GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibidas dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini kerana menyalurkan jumlah peruntukan yang bernilai RM24.85 sahaja bagi setiap peket bantuan kepada rakyat menerusi Mutiara Food Bank.
Dr. Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) berkata, jumlah berkenaan jauh berbeza dengan peruntukan bernilai RM100 bagi setiap peket bantuan yang disampaikan oleh Kerajaan Pusat menerusi program Bakul Makanan.
”Saya telah bertanya kepada Sungai Puyu (Phee Boon Poh) mengenai jumlah peruntukan untuk Mutiara Food Bank daripada September 2021 hingga April 2022 dan beliau memaklumkan telah membeli 16,000 unit makanan kering yang mana peruntukannya jika dikira adalah RM79,520. Jika peruntukan sebanyak itu dibahagikan menjadikan setiap peket berjumlah RM24.85, jauh lebih rendah daripada RM30 yang diberikan oleh YB Air Putih (Lim Guan Eng) ketika menjadi Menteri Kewangan,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.
Menurut Afif, sebelum ini sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di dalam sidang DUN berkenaan telah ‘membantai’ Kerajaan Pusat kerana menyalurkan paket bantuan makanan bernilai RM100 sedangkan jumlah bantuan menerusi program Mutiara Food Bank jauh lebih rendah.
”Kita ahli politik di sini sebahagian besar ‘bantai’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) macam tak ada sempadan sebab bagi peket makanan RM100. Kita tidak minta kerajaan negeri buat lebih pada itu, cuma jangan bagi lebih rendah daripada apa yang diberikan oleh Air Putih bagi,” katanya.
Tambah Afif, beliau sendiri sebagai ADUN telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM60 hingga RM70 bagi setiap peket bantuan makanan untuk disalurkan kepada rakyat yang memerlukan di DUN beliau.
Dalam pada itu, Boon Poh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri berkata, barangan yang diperoleh Mutiara Food Bank tersebut merupakan hasil sumbangan daripada orang ramai.
”Kalau mahu kerajaan negeri bagi sama yang diberikan dengan Kerajaan Pusat, mengapa jumlah cukai yang diambil dari Pulau Pinang tidak dipulangkan sama banyak dengan yang diambil,” katanya. – UTUSAN