KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak pejabat tanah dan galian (PTG) digesa supaya lebih tegas dalam menguatkuasakan penggunaan bahasa Melayu di negara ini.
Ini selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali tampil memberi peringatan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan supaya sentiasa memartabatkan bahasa kebangsaan.
“Saya nak mengingatkan kepada semua jabatan supaya memastikan segala perundangan mengenai penggunaan bahasa Melayu sentiasa dipatuhi.
“Ini termasuklah PBT dan PTG dalam soal nama dan pengiklanan bahawa ketetapan bahasa Melayu hendaklah dikuat kuasa dengan lebih tegas, malah peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam penggunaan bahasa kebangsaan juga perlu diperteguhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan majlis penutupan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu hari ini.
Dalam majlis itu, Mohd. Zuki memberi jaminan bahawa resolusi simposium akan diambil kira sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi.
“Saya sudah meneliti draf awal resolusi simposium ini dan idea-idea baharu boleh dibawa dan dijunjung serta dimartabatkan di seantero dunia.
“Insya-Allah, resolusi simposium ini akan diteliti dan akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN










