PASIR MAS : Usaha pendatang asing tanpa izin (PATI) berani sekumpulan wanita warga Myanmar termasuk kanak-kanak menyorok di kawasan semak berhampiran Tanah Perkuburan Islam Tok Wali, Kelar di sini gagal.
Kumpulan wanita termasuk kanak-kanak berusia empat hingga 25 tahun itu dicekup polis pada pukul 10.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sejurus menerima maklumat berkait penyeludupan migran sepasukan anggota telah membuat serbuan ke lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi menjumpai sekumpulan wanita telah bersembunyi di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas ke semua wanita itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk negara ini.
“Kesemua PATI itu dibawa balik ke IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, pihaknya akan terus meningkatkan lagi rondaan pencegahan jenayah termasuklah penyeludupan PATI.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN










