PASIR MAS: Masalah bekalan air bersih yang menjadi ‘duri dalam daging’ di Kelantan hanya dapat diselesaikan sekiranya rakyat sepakat menumbangkan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali berkata, perubahan kerajaan negeri itu merupakan langkah terbaik dalam mengatasi masalah tersebut.
Justeru itu katanya, Putra mengajak seluruh rakyat Kelantan untuk menolak Pas pada PRU15 bagi menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan lebih dua dekad.
“Dalam dunia ini, kalau ada otak (fikiran) dan usaha tiada apa yang tidak mampu diselesaikan (masalah).
“Dulu…Jambatan Tendong, masa mula-mula hendak dibina ia (jambatan) tiada dalam rancangan pembangunan tetapi mampu dilaksanakan jika ada usaha,” katanya di sini semalam.
Terdahulu beliau turun padang meninjau masalah bekalan air bersih dan mendengar keluhan para penduduk sejak sekian lama di Kampung Hutan Chengal, di sini.
Ibrahim dalam pada itu memberitahu, negara timur tengah yang kekurangan sumber air berjaya menyelesaikan masalah itu dengan memproses air laut yang masin untuk kegunaan harian.
Katanya, selain teknologi, kecekapan pengurusan dilihat mampu menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan.
Mengulas mengenai kerjasama antara parti untuk menumbangkan Pas di Kelantan, Ibrahim berkata, proses rundingan masih berlangsung untuk mencari formula terbaik. – UTUSAN










