SEREMBAN: Op Selamat 18 yang dilaksanakan sempena perayaan Aidilfitri kali ini menyaksikan penurunan kadar laporan jenayah pecah rumah berbanding tahun 2019.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, Op Selamat 18 yang bermula 29 April hingga 8 Mei lalu mencatatkan sebanyak 350 laporan kes pecah rumah berbanding 790 kes pada tahun 2019.
“Penurunan dicatatkan itu menunjukkan kesedaran orang ramai yang mula menjaga keselamatan rumah masing-masing. Ini termasuk memasang sistem penggera dan kamera litar tertutup (CCTV). Ia sekali gus sedikit sebanyak mengelakkan kejadian pecah jenayah rumah berlaku.
“Sekarang kita sudah tahu banyak taman-taman perumahan mempunyai pengawal keselamatan termasuk kawasan berpagar dengan CCTV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Ketua Polis Negara di Kompleks Sukan Paroi, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan meskipun terdapat kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan Covid-19 berkuat kuasa pada 1 Mei lalu.
“Kami mengingatkan orang awam agar tidak leka dalam mematuhi SOP walaupun kelonggaran telah diberi oleh kerajaan. Kami akan sentiasa memantau bagi memastikan pematuhan SOP di tempat yang sepatutnya dipatuhi,” jelasnya. – UTUSAN