fbpx

27 Jun 2022, 5:18 pm

  TERKINI

Op Hari Raya Aidilfitri : Penggunaan dron JPJ berkesan

HANIF Yusabra Yusuf menunjukkan dron yang digunakan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dalam sidang akhbar di Seremban hari ini.-UTUSAN/ NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penggunaan dron oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dilihat berkesan dari segi penguat kuasaan dan lebih mudah memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dron tersebut pertama kali digunakan secara meluas pada Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dengan menumpukan kawasan lebuh raya dan jalan-jalan utama di negeri ini.

“Sebanyak dua dron telah digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

“Sepanjang operasi kali ini, dua orang pegawai JPJ telah ditempatkan bagi mengawal dron dengan 30 notis saman telah dikeluarkan (pemantauan dron) bagi kesalahan utama tersebut,” katanya pada sidang akhbar Op Hari Raya Aidilfitri 2022 di sini hari ini.

Jelas Hanif Yusabra, pihaknya juga bercadang untuk menambah lima buah lagi dron untuk tujuan penguatkuasaan dan memperluaskan penggunaannya dalam operasi lain JPJ selepas ini.

“Kami juga akan berbincang dengan Akademi JPJ Malaysia untuk menghantar pegawai JPJ negeri ini menjalani latihan mengendalikan dron dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 316 kesalahan utama telah dikesan JPJ Negeri Sembilan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2022 yang bermula 29 April sehingga semalam.

“Daripada jumlah tersebut, kesalahan tertinggi memotong barisan mencatatkan 149 kes, melanggar lampu isyarat merah (92), memandu di lorong kecemasan (32) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (6),” katanya.

Hanif Yusabra berkata, anggota JPJ turut membuat penyamaran sebagai penumpang  melibatkan 18 buah bas bagi mengesan kesalahan yang dilakukan pemandu bas.

“Masih ada segelintir pemandu bas yang melanggar peraturan ditetapkan. Daripada 18 buah bas yang dinaiki semasa penyamaran tersebut, sebanyak tiga buah bas dikenakan tindakan.

“Tiga kesalahan dikesan iaitu dua kes melibatkan pemandu bas menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan satu kes memandu secara tidak wajar iaitu mengekori terlalu rapat,” katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 2,010 kenderaan sepanjang operasi tersebut dengan 610 buah kenderaan telah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.  – UTUSAN

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI