PETALING JAYA: Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal akan kembali semula bertugas di Bukit Aman.
Nik Ezanee yang berkhidmat sebagai ADC sejak Disember akan bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman.
Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Nik Ezanee berkata, pertukaran berkenaan berkuat kuasa 1 Jun ini.
Beliau ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut kerana sedang menunggu arahan rasmi untuk melapor diri di Bukit Aman difahamkan pada awal Jun ini.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu.
Jelas beliau, pertukaran berkenaan bukan sahaja melibatkan Nik Ezanee sebaliknya beberapa lagi pegawai kanan.
“Ya, arahan pertukaran sudah dikeluarkan. Dia (Nik Ezanee) akan memegang jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa JPJKK di Bukit Aman.
“Lagipun, sekarang sudah ada pegawai baharu yang telahpun ganti dia di PMO (Pejabat Perdana Menteri),” jelasnya.- UTUSAN










