naik kereta

Naik kereta 46 minit, LRT pula 1 jam 20 minit

KELEWATAN tiba menggunakan perkhidmatan LRT semasa waktu puncak antara sebab orang ramai menggunakan kenderaan sendiri untuk ke pejabat sekaligus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas di ibu negara pada waktu puncak. -UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naik kereta 46 minit, naik LRT 1 jam 20 minit. Itulah hasil tinjauan wartawan Utusan Malaysia dari LRT Ca­ha­ya ke stesen komuter KTM UKM melibatkan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Rapid KL.

Mengikut aplikasi pengangkutan awam, Moovit, jarak perjalanan dari Stesen LRT Cahaya ke Stesen UKM mengambil masa lebih satu jam melibatkan pertukaran di stesen LRT Maluri dan MRT Kajang dengan tambang RM6.50 untuk perjalanan sehala.

Bagi aplikasi Google Maps pula, penggunaan kenderaan persendirian memakan masa 46 minit untuk tiba ke destinasi yang sama termasuk dengan ke-sesakan lalu lintas.

Hasil tinjauan merekodkan perjalanan dari LRT Cahaya ke Stesen KTM UKM mengambil masa 1 jam 20 minit, mulai pukul 9 pagi dan tiba sekitar pukul 10.30 pagi.

Ini boleh memberi jawapan mengapa berlaku kesesakan luar biasa di kebanyakan laluan masuk ke ibu negara ketika waktu puncak waktu pagi dan petang.

Perkhidmatan pengangkutan awam di ibu kota masih dilihat kurang efisien menyebabkan ramai warga kota memilih menggunakan kenderaan persendirian untuk ke tempat kerja atau destinasi lain.

Keadaan berkenaan amat berbeza dengan situasi di luar negara khususnya di Jepun dan negara-negara di Eropah yang memiliki sistem perkhidmatan awam terbaik dan menjadi pilihan utama pengguna.

Melalui tinjauan juga mendapati terdapat pelbagai kekurangan jika dibandingkan perkhidmatan awam dan kenderaan persendirian dari segi masa, perkhidmatan tambahan dan lokasi stesen.

Pertama, kekerapan ketibaan tren KTM ke stesen mengambil masa sehingga hampir 45 minit untuk ketibaan yang seterusnya secara tidak langsung menambahkan waktu perjalanan yang sebelum ini satu jam kepada satu jam 45 minit jika terlepas tren.

Seterusnya, pergerakan tren kadangkala bergerak dengan perlahan sekitar 10 ke 15 kilometer sejam menambahkan tekanan sebagai pengguna yang ingin sampai ke destinasi dengan cepat.

Tambahan pula, ketiadaan perkhidmatan tambahan seperti bas perantara antara satu stesen ke stesen yang lain menyebabkan pengguna terpaksa menambahkan kos perjalanan mereka dengan menggunakan perkhidmatan e-hailing atau teksi.

Lazimnya, perkhidmatan LRT dan MRT menjadi pilihan utama berbanding KTM kerana dari segi kekerapan ketibaan tren, perkhidmatan tambahan seperti bas perantara dan soal ketetapan waktu yang dijadualkan adalah tidak seteruk monorel KTMB.

Pengguna akan memilih perkhidmatan komuter jika ia efisien dan menjimatkan masa berbanding menggunakan kenderaan sendiri.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, sikap penngguna yang enggan menggunakan kenderaan awam telah memberi kesan kepada rangkaian tren komuter KTMB yang sehingga kini kapasiti setiap tren yang beroperasi tidak penuh.

Rata-rata pengguna memberikan komen tentang masa ketibaan buat pengangkutan komuter KTM.

Tinjauan Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati, respons daripada pengguna inginkan kemajuan di dalam pengangkutan awam bagi memudahkan perjalanan mereka sampai ke destinasi.

Seorang pelajar, Fakhrul Ramlan, 22, yang menggunakan tren sebagai pengangkutan utama ke Mid Valley untuk kerja sambilan berkata, masa dalam tren lebih lama berbanding menggunakan kenderaan persendirian.

“Majikan saya sekarang turut faham dengan keadaan kenderaan awam yang saya gunakan jika hadir lewat ke tempat kerja, kelewatan akan berlaku apabila saya terlepas tren, kelewatan dijangka 30 ke 40 minit,” katanya.

Selain itu, jajaran perkhidmatan awam sekarang disediakan tidak mengikut kehendak sebahagian besar pengguna membuatkan pengguna kenderaan awam, Mohd Zulhakim, 23, terpaksa menggunakan jalan jauh untuk sampai ke destinasi.

“Saya jarang guna KTM sebab waktu ketibaan sangat tidak mesra pengguna, satu jam saya menunggu ketibaan tren bagi pergerakan dari Klang ke stesen Abdullah Hukum untuk berjumpa dengan rakan.

“Saya berada di TBS untuk stesen pertukaran pergi ke LRT Abdullah Hukum, penat tetapi inilah cara pengangkutan awam di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fitri Jamaluddin, 25, merasakan kenderaan awam amat sesuai digunakan untuk berjalan di sekitar Kuala Lumpur namun tidak untuk bergerak ke tempat kerja.

MOHD. FITRI JAMALUDDIN

“Pengangkutan awam sangat menjimatkan tetapi jarak masa sampai ke destinasi dua kali ganda daripada kenderaan persendirian membuatkan saya berfikir dua kali untuk naik tren.

“Kenderaan awam saya suka untuk gunakannya, tetapi kalau pengurusan tidak dapat urus masa dan merancang idea dengan baik, orang awam akan ingat perkhidmatan ini dicipta untuk kepentingan orang atasan sahaja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN