Mula balik ibu negara, aliran trafik dijangka ‘luar biasa’ 

Mula balik ibu negara, aliran trafik dijangka ‘luar biasa’ 

ALIRAN trafik menyaksikan pertambahan kenderaan di jalan raya berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing setelah menyambut Hari Raya Aidilfitri ketika tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menjangkakan peningkatan aliran trafik luar biasa susulan orang ramai mula pulang ke ibu negara bermula esok hingga Ahad ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintenden Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, berdasarkan analisis, sebanyak 4.5 juta kenderaan menuju pulang ke ibu negara hari ini selepas sambutan Aidilfitri Isnin lalu.

Katanya, ini susulan berlaku peningkatan trafik sebanyak 2.65 peratus di semua lebuh raya seluruh negara iaitu 3.59 juta kenderaan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1.2 juta pengguna dianggarkan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Kita jangka berlaku peningkatan aliran trafik luar biasa bermula esok (Jumaat) sehingga Ahad ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

Menurut Dr. Bakri, aliran trafik dalam tempoh empat hari ini belum mencecah 5.5 juta seperti yang berlaku pada 29 April lalu.

“Namun kita mendapati trend pergerakan pulang ke ibu negara telah bermula sejak semalam. JSPT sudah membuat persiapan menerusi Op Lancar dengan koordinasi di setiap kontinjen dan daerah,” ujar beliau.

Semalam, aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke ibu negara dilaporkan mengalami kesesakan teruk berikutan pertambahan jumlah kenderaan susulan warga kota mula pulang ke rumah masing-masing selepas bercuti di kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan, setakat 10 malam tadi, di bahagian utara, trafik menghala ke Kuala Lumpur di PLUS dilaporkan sesak di Alor Setar sehingga Sungai Petani Selatan, Kedah, dan di Perak kesesakan berlaku di Bukit Merah menuju ke Changkat Jering, Bukit Berapit menuju ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Tapah ke Sungkai.

Di selatan pula trafik di lebuh raya Plus dilaporkan sesak di Johor dari Pagoh ke Jasin, Melaka dan Simpang Ampat menuju ke Seremban, Negeri Sembilan.

Bagi aliran trafik dari arah Pantai Timur menghala ke ibu kota trafik sesak di laluan Karak menuju ke Bentong sehingga ke Lentang, selain trafik juga sesak di Plaza Tol Gombak menuju ke Kuala Lumpur.

Bagi arah ke utara, trafik di lebuh raya Plus dari Tapah ke Ipoh, Terowong Menora ke Bukit Berapit dan Bandar Baharu ke Jawi mengalami kesesakan sementara arah ke selatan kesesakan berlaku dari Pagoh ke Yong Peng dan Simpang Renggam ke Kulai.

Ahad lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 14 juta kenderaan pulang ke kampung masing-masing menggunakan semua lebuh raya di seluruh negara. 

Ini susulan tol percuma dan potongan hingga 50 peratus diberikan kerajaan di 30 lebuh raya di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya