KOTA KINABALU: Pas Sabah menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa kerjasama Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) telah mati.
Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, Pas masih kekal dengan prinsip untuk meneruskan kerjasama dalam MN. Itu sebabnya mereka mahu terus berbincang bagi memperbaiki mana-mana yang kurang.
Jika dilihat berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan pimpinan Pas Pusat termasuk Presiden Pas sendiri, secara jelas menyatakan Pas akan cuba mengekalkan kerjasama bersama Perikatan Nasional (PN) dan juga MN.
“Saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pas Pusat melihat perkara itu sebagai suatu kriteria terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Jadi PN kita kekalkan dan perkukuhkan MN,” katanya selepas program ziarah sekolah sempena Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai hubungan Pas dan UMNO dalam MN di peringkat Pusat yang dikatakan telah berakhir.
Mengenai hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu berkata, biarpun Pas tidak berada dalam GRS secara rasmi namun, Pas akan terus bekerjasama dengan GRS di peringkat negeri Sabah.
Menurut beliau, Pas akan terus menyokong kerajaan GRS di peringkat negeri kerana tiada sebarang perubahan dalam kerjasama yang dibentuk menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada tahun 2020.
Jelas beliau, setakat ini belum ada pertemuan rasmi bersama GRS namun, secara tidak rasmi mereka sudah bertemu dan perkara yang dibincangkan tetap sama iaitu kerjasama yang ada dikekalkan dan Pas akan meneruskan sokongan terhadap kerajaan GRS yang memerintah Sabah pada hari ini.
Mengulas lanjut katanya, biarpun perbincangan yang dilakukan tidak menyentuh soal pembahagian kerusi namun, mereka mahu mengukuhkan perpaduan dalam kerajaan.
Ia penting bagi memastikan segala pembangunan yang dirancang berjalan dengan lancar.- UTUSAN









