MELAKA: Usahawan, Datuk Dr. Azizan Osman tidak ‘kecil hati’ dengan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak memilih konsortium ManagePay System Berhad (MPay) sebagai penerima lesen bank digital, minggu lalu.
Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan itu, meskipun Mpay telah mempunyai kapasiti dengan 11 lesen di bawah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC).
“Saya menghormati keputusan BNM yang tidak memilih Mpay sebagai antara lima penerima lesen bank digital yang diumumkan minggu lepas.
”Namun, saya yakin sekiranya kami diberikan peluang, Mpay boleh beroperasi dalam tempoh enam bulan,” katanya yang merupakan pemegang saham utama Mpay ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Tengkera di sini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Terdahulu, BNM mengumumkan lima pemohon yang berjaya mendapatkan lesen bank digital diluluskan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tiga pemohon dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK) ialah Konsortium Boost Holdings Sdn. Bhd. dan RHB Bank Berhad, konsortium diterajui GXS Bank Pte. Ltd. dan Kuok Brothers Sdn. Bhd. serta konsortium diterajui Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn. Bhd.
Dua pemohon yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI) pula ialah Konsortium AEON Financial Service Co. Ltd., AEON Credit Service (M) Berhad dan MoneyLion Inc., serta konsortium diterajui KAF Investment Bank Sdn. Bhd.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, pihaknya akan terus komited membantu kerajaan dalam mengembangkan sistem pendigitalan bukan melibatkan pembayaran parkir, tetapi integrasi keseluruhan bagi pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebelum ini, MPay mengumumkan anak syarikatnya, ManagePay Services Sdn. Bhd. telah membuat permohonan bagi lesen bank digital kepada BNM pada 30 Jun 2021.
Permohonan itu turut disokong tiga rakan strategik iaitu Trustgate Berhad; Crescent Capital Sdn. Bhd. dan RichWorks International Sdn. Bhd. – UTUSAN










