MN mungkin tidak dapat diselamatkan - Najib

MN mungkin tidak dapat diselamatkan – Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerjasama Muafakat Nasional (MN) antara UMNO-Pas  mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.

Bayangan itu diberikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan laluan sukar yang terpaksa dihadapi UMNO sejak kebelakangan ini untuk meneruskan jalinan kerjasama berkenaan.

Bagaimanapun, beliau percaya inisiatif MN itu boleh disuburkan dalam bentuk-bentuk lain terutama dalam kalangan akar umbi walaupun usaha tersebut gagal di peringkat kepemimpinan parti.

“Walau apa jua keadaannya, saya berharap semangat permufakatan tidak  padam dan diteruskan kerjasama dalam konteks lain demi manfaat ummah serta negara.

“Kalau tidak dapat di peringkat nasional mungkin MN boleh diteruskan oleh akar umbi jika ada persefahaman sebab saya dapati pemimpin UMNO dan Pas di kebanyakan tempat sudah serasi di antara satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman di Dataran Permata di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kerjasama parti itu dengan Pas menerusi MN dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.

Ahmad Zahid berkata, soal masa depan MN sewajarnya dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya