SEREMBAN: Mayat seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh ditemukan di tepi jalan Kuari Batu 11, Jalan Labu, Nilai di sini tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu lebih kurang pukul 12.50 tengah hari.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mayat itu menemukan salinan dokumen warganegara Bangladesh yang disyaki miliknya. Tempat kejadian merupakan tepi jalan menuju ke kawasan Kuari Batu 11 Labu dan kawasan dikelilingi kebun kelapa sawit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Fazley berkata, Pasukan Forensik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.
“Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Setakat ini, kes diklasifikasikan mati mengejut,” katanya.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil memberikan maklumat di balai berdekatan atau hubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Nor Nikman Ahammed di talian 013-6262415. – UTUSAN










