Mansuh AP makanan: mampu tangani isu monopoli

Mansuh AP makanan mampu tangani isu monopoli

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) makanan diyakini dapat menyelesaikan isu kekurangan bekalan, penyorokan dan lonjakan harga bahan mentah di pasaran. 

Ahli Dewan Negara, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya berkata, ini sekali gus membolehkan nasib rakyat lebih terbela tanpa monopoli pihak tertentu.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana berani mengambil keputusan tepat memansuhkan permit import (AP) makanan.

“Saya rasa bersyukur cadangan yang dibangkitkan dalam ucapan penggulungan di Dewan Negara pada 15 Disember lalu akhirnya diterima pakai kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan keputusan kerajaan memansuhkan ke­perluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta se­bagai langkah drastik menjamin keselamatan dan bekalan makanan di negara ini.

Menurut beliau, dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini, berbanding kemestian AP. 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagaimanapun memperincikan hanya empat jenis komoditi agromakanan tertentu iaitu kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan  ayam dan ayam bulat) dan susu cair, tidak lagi dikenakan AP atau kelulusan kuota import dan kebenaran mengimport.

AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa.

Sebelum ini Hisamudin pernah membangkitkan di Parlimen yang menyarankan kerajaan memansuhkan monopoli permit import bagi memastikan harga barangan dapat dikawal.

Katanya, permit import harus dibuka secara bebas kepada umum agar persaingan sihat dapat berlaku apatah lagi dalam pembukaan semula ekonomi ini terdapat pihak yang mengambil kesempatan seolah-olah membalas dendam akibat tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terlalu lama.

Menurut beliau, apabila kerajaan memberi banyak pilihan kepada pemegang permit import, maka mereka akan bersaing sesama sendiri, dan persaingan sihat tersebut akan menguntungkan rakyat, khususnya dalam tawaran harga yang rendah. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN