Mansuh AP bakal `bunuh’ petani tempatan  - Salahuddin - Utusan Malaysia

Mansuh AP bakal `bunuh’ petani tempatan  – Salahuddin

SALAHUDDIN AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Langkah  memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan bakal  ‘membunuh’ petani tempatan yang tidak mampu bersaing dengan lambakan barangan import.

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ini kerana kerajaan belum ada pendekatan untuk memberikan ‘perlindungan’ kepada petani supaya mereka dapat bersaing dengan bahan makanan import.

Menurut beliau, kerajaan  belum mampu memberi bantuan dan sokongan yang mencukupi kepada petani yang berdepan dengan masalah kenaikan kos baja, racun serangga dan bahan pertanian yang diperlukan. 

“Kalau petani kita tak diberikan bantuan subsidi mencukupi sebagaimana yang berlaku di negara maju seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan negara Eropah yang lain, mereka sukar untuk berdaya saing. 

“Ketika saya menteri dahulu pernah menghadapi isu tanaman fertigasi cili apabila berlakunya lambakan cili import  Vietnam, mereka (petani tempatan) tak boleh cari makan. Bayangkan bila banyak sayur lain masuk, petani kita tak mampu untuk bersaing.

“Langkah pemansuhan AP bahan makanan itu bagus tapi negara tidak bersedia lagi. Maka, perlu perancangan yang lebih teliti kerana apabila berlaku lambakan bahan makanan, dikhuatiri petani berdepan masalah jualan setelah harga akan jatuh selain menampung kos operasi,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Keperluan AP

Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pemansuhan keperluan AP terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pemansuhan AP harus dikawal bagi menjaga kepentingan pengusaha tempatan dalam sektor pertanian dan makanan untuk mampu bersaing dengan barangan import.

Salahuddin berkata, walaupun ia belum dikuatkuasakan, namun sudah terdengar pelbagai rungutan oleh  petani mengenai baja dan dedak yang mahal hingga memberi kesan kepada kos operasi mereka.

“Dengan menghapuskan AP, ia tak menjamin akan berjaya mengatasi krisis makanan sekali gus kos bekalan makanan mahal, ini kerana dalam masa sama petani tempatan berdepan risiko gulung tikar sekiranya tak dapat bersaing.

“Pemansuhan AP tanpa ada satu perancangan yang teliti, maka ia akan membinasakan. Perlu diwujudkan jawatankuasa khas di Kabinet yang libat kementerian berkaitan untuk hadapi isu krisis makanan yang akan melanda dalam negara ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN