Malaysia mula kurang hujan, Nadma sedia rizab air mencukupi - Utusan Malaysia

Malaysia mula kurang hujan, Nadma sedia rizab air mencukupi

MONSUN Barat Daya menyebabkan tiupan angin utama dari arah barat daya dan secara amnya Malaysia mengalami kurang hujan, khususnya di Semenanjung dan Sarawak selain boleh mengakibatkan jerebu jika berlaku pembakaran terbuka tidak terkawal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mula mengalami kurang hujan, khususnya di Semenanjung dan Sarawak, ekoran peralihan Monsun Barat Daya sejak 14 Mei lalu.

Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengadakan mesyuarat penyelarasan bagi menghadapi cuaca panas dan kering.

Agensi itu memaklumkan, ketika ini telaga aktif sumber air bawah tanah atau telaga tiub di negara ini mempunyai rizab yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika berlakunya bencana pada musim kering.

Malah katanya, terdapat 5,563 telaga tiub di seluruh negara untuk menghadapi kesan peralihan cuaca, berdasarkan data Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“JMG diarahkan membuat pemetaan atau pemadanan lokasi telaga tiub dengan kawasan titik panas di kawasan berisiko bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Monsun Barat Daya menyebabkan tiupan angin utama dari arah barat daya dan secara amnya Malaysia mengalami kurang hujan, khususnya di Semenanjung dan Sarawak selain boleh mengakibatkan jerebu jika berlaku pembakaran terbuka tidak terkawal,” menurutnya dalam kenyataan.

Katanya, persiapan lain termasuk pemantauan kemarau akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara mingguan dan bulanan menerusi Pusat Operasi Sistem Pengurusan Sumber Air Negara (NAWABS).

Hasil daripada mesyuarat itu juga, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan pemakluman hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari berturut-turut (setiap hari) kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan serta mengeluarkan nasihat sekiranya terdapat tanda-tanda akan berlaku jerebu rentas sempadan.

Namun setakat ini, berdasarakan analisis hujan tiga bulan semasa oleh Nadma menunjukkan hampir keseluruhan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima hujan melebihi paras normal.

Hanya beberapa tempat yang menunjukkan keadaan sederhana kering seperti Serian dan Sri Aman, Sarawak dan sebahagian kecil kawasan di Johor dan Melaka.

Keseluruhan Terengganu dan sebahagian kawasan di Kelantan dan Pahang menjadi kawasan paling tinggi menerima hujan untuk tiga bulan semasa berbanding hujan kumulatif Purata Jangka Panjang (LTM).

Oleh itu, Nadma menasihatkan semua pihak pengurusan bencana untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama susulan daripada cuaca panas dan kering seperti jerebu, kebakaran hutan serta penurunan aras air empangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya