TAIPING: Kerajaan membuat rayuan memohon kuota tambahan 5,000 jemaah Malaysia bagi menunaikan haji tahun ini kepada kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, beliau telah mengemukakan rayuan itu semasa menghadiri Persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia di Abu Dhabi minggu lalu.
“Kita buat rayuan sekali lagi kepada mereka (kerajaan Arab Saudi) bagi menambah kuota sebanyak 5,000 jemaah haji lagi untuk tahun ini. Kita telah berusaha mendapatkan tambahan kuota haji untuk jemaah Malaysia namun tidak dapat memberi jaminan sama ada akan diluluskan atau tidak oleh kerajaan Arab Saudi. Setakat ini kita belum terima sebarang jawapan tentang perkara itu lagi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada jamuan hari raya anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Menteri bersama Cawangan Pas Taman Damai di Kampung Pasir Simpang, Taiping di sini hari ini.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji seramai sejuta jemaah bagi tahun 2022 dengan 85 peratus daripadanya merupakan jemaah dari luar.
Daripada jumlah itu, kuota haji Malaysia sebanyak 14,306 orang berbanding 31,600 orang jemaah sebelum ini.
Sementara itu, mengenai kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mahu bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Idris yang juga Naib Presiden Pas berkata, calon bertanding akan ditentukan parti peringkat pusat.
Menurutnya, parti peringkat cawangan boleh memberikan pandangan namun keputusan akhir ditentukan oleh pemimpin pusat.
Menurutnya, pelbagai faktor akan dikaji termasuk sokongan pengundi terhadap parti dan calon serta beberapa aspek lain akan diambil kira sebagai rumusan yang akan diguna pakai dalam membuat keputusan mengenai calon yang sesuai.
“Dalam membuat rundingan kedudukan kerusi, parti terlebih dahulu akan membuat kajian lapangan kerana ia merupakan data yang penting untuk dibentangkan sebagai satu fakta ketika perundingan dibuat dan penentuan dalam membuat keputusan di peringkat pusat.
“Perkara itulah yang akan dipertimbangkan ketika kita membincangkan di peringkat pusat nanti. Sama ada calon yang diletakkan itu dari luar atau dalam kawasan, keputusannya adalah berdasarkan rundingan di peringkat pucuk pimpinan,” katanya.
Pada program di Bagan Serai baru-baru ini, Wan Ahmad Fayhsal menyatakan hasrat untuk bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam PRU-15.
Menurutnya, Parlimen Bagan Serai antara kerusi yang berpotensi untuk beliau bertanding selain di Kelantan.
Beliau berkata, namun perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukannya. – UTUSAN










