Malaysia gesa AS selesai konflik Rusia-Ukraine, isu Palestin

Sidang ASEAN-AS: Malaysia gesa AS guna pengaruh selesai konflik Rusia-Ukraine, isu Palestin

ISMAIL SABRI YAAKOB

PETALING JAYA: Malaysia menyatakan empat pendirian mengenai isu serantau dan antarabangsa dalam Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) yang dipengerusikan Presiden AS, Joe Biden.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara pendirian yang dikemukakan adalah mengenai konflik Rusia-Ukraine perlu diselesaikan secara damai dan bukan dengan peperangan. 

Beliau berkata, ini kerana peperangan tidak memberi apa-apa kebaikan kepada mana-mana negara malah membawa penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa.

“Konflik Rusia-Ukraine juga memberi kesan ekonomi kepada negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia. 

“Malaysia menggesa agar Amerika Syarikat menggunakan pengaruh mereka untuk mewujudkan perdamaian dalam konflik Rusia-Ukraine,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia juga menggesa AS secara jujur menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan isu Palestin yang telah berlarutan selama 74 tahun.  

Kata beliau, kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh terus berleluasa, malah negara Palestin perlu diwujudkan seperti yang terkandung di dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu dengan persempadanan sebelum perang 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. 

“Malaysia merupakan satu-satunya negara yang membangkitkan isu Palestin ini secara jelas. 

“Mengenai isu Laut China Selatan, Malaysia berpendirian agar Laut China Selatan kekal sebagai kawasan bebas dari campur tangan kuasa besar dan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas. Malaysia tidak mahu terdapatnya provokasi kuasa besar di Laut China Selatan. 

“Malaysia juga mahu isu Myanmar diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan kepada ‘5 points consensus.’ Malaysia menekankan tentang isu pelarian Myanmar dan mahu bantuan Amerika Syarikat supaya mengambil mereka untuk dipindahkan ke negara lain,” jelas beliau. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN