baulu berinti

Mahu jual baulu berinti guna konsep sajian makanan

ZAHARI Md. Akhir menunjukkan baulu yang dihasilkan di premis perniagaannya di Taman Mengkuang Indah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Memulakan perniagaan dengan bermodalkan RM12 kira-kira 37 tahun yang lalu, siapa sangka bisnes kuih baulu yang diasaskan keluarga Zahari Md. Akhir, 50, kini mampu merekodkan jualan RM20,000 sehari khususnya ketika musim perayaan atau kenduri-kendara.

Meskipun tidak lagi menggunakan kaedah lama seperti sabut kelapa untuk menghasilkan baulu, kuih tradisional yang diberi nama Zana Baulu itu tetap mendapat sambutan menggalakkan hampir setiap masa.

Menurut Zahari, ketika ini dia menguruskan perniagaan itu bersama isterinya, Norhana Mohamed Noor, 50, dengan dibantu lapan pekerja termasuk dua anak perempuan mereka.

“Walaupun agen dan pembekal kami hanya ada di Pulau Pinang buat masa ini, namun kami tetap menyediakan khidmat penghantaran termasuk pos ke mana-mana lokasi atas permintaan pelanggan.

“Produk Zana Baulu juga telah sampai hingga ke Arab (Saudi), Jerman, London (United Kingdom), Singapura dan lain-lain negara atas inisiatif pelanggan-pelanggan kami termasuk yang menetap di sana,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu memberitahu, kebiasaannya mereka mampu menghasilkan antara 5,000 hingga 7,000 biji baulu sehari, namun jumlah tersebut akan meningkat hingga 20,000 pada musim perayaan.

“Selain Melayu, kaum Cina juga sangat menggemari kuih ini dan boleh dikatakan akan ditempah hampir setiap masa mengikut keperluan mereka,” katanya yang pernah menjalankan perniagaan biskut sebelum ini.

Dalam pada itu kata Zahari, pihaknya kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memudahkan proses mengeksport serta memasarkan produk itu ke pasaran lebih besar termasuk ke luar negara.

Dalam masa sama katanya, dia dan isteri juga bercadang menjalankan perniagaan bahulu dengan menggunakan kenderaan saji atau food truck pada masa depan.

Ketika ini kata Zahari, Zana Baulu hanya menghasilkan satu jenis bahulu iaitu perisa asli dengan tiga acuan berbeza iaitu (buah) cermai, ikan emas dan ikan besar.

“Mungkin apabila kami boleh beroperasi dengan menggunakan food truck nanti, saya akan hasilkan baulu perisa baharu iaitu berintikan blue berry, tat nenas, kurma atau kismis.

“Sebenarnya, sudah pernah cuba buat (baulu berinti) sebelum ini, namun belum dapat dikomersialkan kerana kami lebih menumpukan kepada pengeluaran baulu asli sahaja memandangkan permintaan yang tinggi terhadap kuih berkenaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN