PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) diminta menyegerakan pembayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen kepada penternak sebagaimana dijanjikan kerajaan sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang bermesyuarat sebelum ini dimaklumkan oleh MAFI bahawa kementerian itu belum menerima tuntutan pembayaran daripada pihak penternak.
“Jadi kita tak tahu salah siapa, jumlah yang dikeluarkan itu memang agak kecil berbanding dengan peruntukan yang disediakan. Kita minta supaya penternak menyegerakan (tuntutan subsidi).
“Saya pun dapat laporan ada prosedur tertentu agak melewatkan jadi kita minta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan supaya mempercepat dari segi pembayaran,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 “Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM dirai”, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan, sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.
Penutupan itu bukan sahaja bakal meningkatkan harga ayam di pasaran manakala pengguna pula perlu berebut mendapatkan bekalan yang dicatu oleh mereka malah turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal.
Sumber dalaman industri memberitahu Utusan Malaysia, tindakan yang didalangi sebuah persatuan itu dipercayai dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam dua hari tersebut bagi memboikot kerajaan.
Malah satu pekeliling yang dikeluarkan semalam oleh sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka kepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.
Menurut sumber tersebut, strategi lama ‘tangan hitam’ itu mencatu ayam di dalam pasaran sebelum ini telah gagal hingga mereka mengambil keputusan menutup ladang-ladang ayam.
Ditanya kebimbangan jika penternak benar-benar bertindak menutup operasi ladang mereka pada Sabtu dan Ahad ini, Ismail Sabri berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak MAFI untuk menanganinya.
“Kita serah kepada MAFI,” katanya.
Februari lalu, kerajaan memutuskan pemberian subsidi ayam dan telur kepada penternak di seluruh negara untuk tempoh empat bulan sehingga 4 Jun ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM528.52 juta.
Pemberian subsidi itu melibatkan sebanyak 60 sen bagi setiap kilogram dengan mengambil kira harga ayam hidup di peringkat ladang sebanyak RM5.90 per kilogram dan harga runcit ayam bulat standard sebanyak RM8.90 per kilogram, selain pemberian subsidi sebanyak 5 sen bagi setiap biji untuk semua jenis kategori telur. – UTUSAN