LUAS diarahkan tingkatkan pemantauan di kawasan sensitif, hotspot

LUAS diarahkan tingkatkan pemantauan di kawasan sensitif, hotspot pencemaran air

IZHAM HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tiada tompokan minyak dikesan di Sungai Semenyih walaupun siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati terdapat pencemaran bau sebanyak tiga ton selepas siasatan dibuat pada pukul 1 petang semalam.

Beberapa lokasi berpotensi pencemaran disiasat oleh LUAS merangkumi aktiviti pengorekan pasir di Sungai Semenyih dan Sungai Beranang, pertemuan kedua-dua sungai dan beberapa kawasan di hulu dan hilir Sungai Beranang.

Justeru, kerajaan negeri mengarahkan LUAS meningkatkan pemantauan 24 jam di kawasan-kawasan sensitif dan hotspot pencemaran di sepanjang lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang menjadi punca bekalan air mentah di seluruh negeri.

Exco Infrastruktur dan Pertanianm Izham Hashim berkata, pihaknya amat memandang serius isu gangguan bekalan air akibat pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih (Jenderam Hilir) 12.30 tengah hari semalam.

“Peningkatan pemantauan ini bukan sahaja melalui pemantauan lebih kerap di kawasan-kawasan berkenaan, bahkan juga dengan memperluaskan kawasan pemantauan untuk mengambil kira kawasan dalam radius yang lebih luas dari LRA.

“Untuk makluman, kerajaan negeri sedang giat melaksanakan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) yang menelan belanja lebih RM300 juta, melibatkan empat pakej utama di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih bagi tujuan menyediakan jaringan bekalan air alternatif jika berlaku insiden pencemaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, langkah pelaksanaan projek SJAM adalah bertujuan menjamin bekalan air berterusan kepada semua pengguna, keseluruhan empat pakej tersebut dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 463 kawasan merangkumi lima wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas pencemaran bau seakan diesel di kesan di muka sauk LRA Sungai Semenyih di Jenderam Hilir oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) pada pukul 12.30 tengah hari.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan, siasatan sedang dijalankan selepas pemantauan statik sekitar 1.5 kilometer dari muka sauk tersebut menunjukkan bacaan sifar ton pada pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Izham menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999. 

“Kerajaan Negeri Selangor menyeru kepada semua agar prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera,” jelasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan pemulihan bekalan air, Air Selangor memaklumkan, pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan insiden pencemaran di muka sauk Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir, mencapai 48 peratus setakat 6 pagi.

Tambahnya, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 3 petang hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN