MELAKA: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini yang sebelum ini terbiar sunyi tanpa sebarang penerbangan komersial bakal kembali meriah, Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, Batik Air yang sebelum ini dikenali dengan nama Malindo Air akan menawarkan perkhidmatan penerbangan di situ.
Beliau berkata, destinasi yang itawarkan pada permulaan adalah laluan Melaka ke Pulau Pinang dan Pulau Pinang ke Melaka.
“Sekurang-kurangnya 30,000 pelancong menggunakan perkhidmatan penerbangan Batik Air ini nanti. Saya harap inisiatif ini dapat menghidupkan kembali industri pelancongan di Melaka khususnya menggunakan laluan udara.
“Kita ada wujudkan komuniti tidak rasmi bersama Malindo Air, wakil mereka akan sertai rombongan kita ke Riau, Indonesia dari 8 hingga 12 Jun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Taklimat Hala Tuju Industri Pelancongan Melaka di Ayer Keroh di sini, semalam.
Pada September 2021 ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam berkata, kerajaan negeri perlu menggiatkan usaha mendapatkan kelulusan Kerajaan Pusat bagi menyegerakan penambahbaikan infrastruktur LTAM.
Beliau berkata, ia berikutan projek menaik taraf yang berjumlah RM200 juta itu telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Muhammad Jailani berkata, meskipun kerajaan negeri hanya menyasarkan sebanyak dua penerbangan seminggu, perkhidmatan itu diramal mampu mencapai hampir 40 peratus kemasukan pelancong asing ke negeri ini.
“Sekurang-kurangnya dua penerbangan seminggu bergantung kepada permintaan pelancong. Kita buat promosi untuk memastikan Melaka sentiasa relevan khususnya dalam industri pelancongan negara,” ujarnya. – UTUSAN










