KLANG: Seorang wanita yang menziarah pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang di sini, terkejut mendapati kereta Perodua Axia miliknya dipecah penjenayah di pekarangan kawasan itu, semalam.
Kejadian antara pukul 4 hingga 5 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 34 tahun kehilangan beberapa barangan termasuk wang berjumlah RM1,200.
Ia adalah kejadian kedua berlaku selepas melibatkan seorang ahli perniagaan di sebuah tanah perkuburan lain di sekitar daerah ini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan mengenai dibuat mangsa mengenai kejadian yang tular dalam media sosial itu pukul 6.48 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika wanita itu bersama ibunya meletakkan kenderaan di dalam pekarangan tanah perkuburan tersebut.
“Sejurus selepas selesai menziarah pusara bapanya, mangsa melihat cermin kereta bahagian depan sebelah kiri telah dipecahkan.
“Mangsa kemudian mendapati beg tangan miliknya dan ibunya yang berada di dalam Axia berkenaan turut hilang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelas Vijaya Rao, barangan yang dilaporkan hilang antaranya dua unit telefon bimbit, dokumen pengenalan diri, satu loket emas dan wang RM1,200.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek terlibat. Saksi awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Pada 29 April lalu, seorang ahli perniagaan turut mengalami nasib sama apabila kereta Toyota Estima miliknya dipecah penjenayah ketika menziarahi pusara ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Lipat Kajang, di sini.
Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 61 tahun kehilangan beg galasnya yang turut mengandungi wang berjumlah RM6,500.
Siasatan mendapati suspek disyaki seorang lelaki menunggang Yamaha RXZ yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.