KUALA SELANGOR: Dugaan Syawal ke-8, lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah dua tingkat didiami mereka di Lorong 2, Sungai Kajang Lama di Tanjong Karang terbakar pada bahagian atas dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 9.12 pagi sebelum pasukan dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar bergegas ke tempat kejadian.
“Seramai 25 pegawai dan anggota bomba tiba di tempat kejadian empat minit kemudian dan mendapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 1,200 kaki persegi terbakar dengan anggaran kemusnahan sebanyak 50 peratus.
“Ketika kejadian, terdapat lima orang penghuni yang bertindak menyelamatkan diri selepas menyedari kebakaran tersebut. Namun, kesemua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kebakaran tersebut berjaya dikawal kurang 20 minit sebelum siasatan terhadap punca kebakaran dijalankan.
Terdahulu, tular dalam media sosial sebuah video yang dirakam oleh seorang pengguna menggunakan dron memaparkan rumah dua tingkat terbakar pada bahagian atas dan pasukan bomba giat memadamkan kebakaran. – UTUSAN










