SEPANG: Seorang lelaki berusia 29 tahun maut selepas kereta yang dipandu terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer (KM) 37.9 Persiaran Utama menghala ke Puchong, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa disahkan maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Cyberjaya menghala ke Puchong untuk pulang ke rumah.
Beliau berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar besi penghadang di antara jalan susur keluar ke Putrajaya dan jalan arah ke Puchong.
“Mangsa yang tersepit di dalam kereta telah dibawa keluar dengan bantuan pihak bomba sebelum di hantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN










