Lelaki lemas, nekad terjun Sungai Melaka

Lelaki lemas, nekad terjun Sungai Melaka

ANGGOTA bomba menjalankan operasi mencari seorang lelaki yang bertindak terjun ke dalam Sungai Melaka berhampiran Jeti Taman Rempah, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai bertindak terjun ke dalam Sungai Melaka gara-gara dikejar sekumpulan individu di sini, malam tadi. 

Mayat mangsa berusia lingkungan 40-an ditemui pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Melaka Tengah pada pukul 8.46 malam. 

Menurut seorang saksi, Mimie Suraya Mohd., 25, sebelum kejadian dia bersama rakannya terdengar bunyi kecoh seperti pergaduhan dan ternampak seorang lelaki dikejar sekumpulan individu. 

“Ketika itu saya sedang berjumpa dengan rakan yang datang ke tempat kerja di pos pengawal kira-kira pukul 6.30 petang dan kami nampak mereka berlari. 

“Kawan saya yang berasa curiga telah mengekori kumpulan tersebut, namun tidak lama kemudian datang semula beritahu lelaki dikejar telah terjun ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di Pengkalan Rama Pantai di sini, malam tadi. 

Tambahnya, difahamkan kekecohan itu berlaku selepas lelaki tersebut dikatakan telah menampar salah seorang individu daripada kumpulan yang mengejarnya.

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khairudin Atan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada pukul 7.07 malam dan sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi. 

“Setiba di lokasi kita telah melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai seorang lelaki berusia 40-an.

“Mayat mangsa kemudian ditemui pada pukul 8.46 malam berhampiran lokasi yang didakwa saksi tempat dia terjun,” katanya.

Tambahnya, mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya