PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki gara-gara tindakannya menghalang penjawat awam yang sedang mengiringi orang kenamaan dan memandu secara gopoh kelmarin.
Susulan tindakan itu, satu laporan polis dibuat kira-kira 1.30 pagi berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa tugas mengiringi orang kenamaan melalui Lebuh Raya Sultan Iskandar menghala susur masuk ke Jalan Sultan Abdul Halim, di sini, pada pukul 11.30 malam Jumaat lalu.
Kata beliau, susulan daripada itu, rakaman mengenai kejadian telah tular.
“Susulan itu, polis menahan suspek berusia 36 tahun kerana disyaki terbabit dalam kes itu sebelum direman empat hari bermula semalam hingga 11 Mei ini.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menggalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya) dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan (memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam),” katanya dalam kenyataan malam tadi. – UTUSAN