JOHOR BAHRU: Lebih 1,000 kekosongan tempat bagi mengerjakan ibadah haji musim ini yang ditolak oleh bakal jemaah atas pelbagai faktor telah diisi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, kekosongan berkenaan diberi kepada kumpulan jemaah haji bagi tahun 2020 dan 2021.
Kata beliau, ketika ini pihaknya masih menunggu keputusan Arab Saudi berhubung rayuan untuk diberikan kuota tambahan sebanyak 5,000 jemaah bagi musim haji 2022.
“Setakat ini untuk kekosongan kira-kira 1,000 yang mana jemaah yang sepatutnya telah membuat penolakan atas pelbagai sebab seperti faktor kesihatan dan tempat berkenaan telah diisi.
“Berhubung permohonan tambahan kuota yang dibuat, kita masih lagi tunggu jawapan daripada Arab Saudi, jika diterima kuota itu akan diisi oleh jemaah yang namanya disenaraikan pada tahun 2020 dan 2021,” katanya sempena majlis Pra Pelancaran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar Johor, di sini hari ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merasmikan majlis itu dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid.
Mengikut rekod, Malaysia diberi kuota sebanyak 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan peratusan itu turut terpakai kepada semua negara. Penerbangan pertama jemaah haji negara ini dijangka berlepas pada 4 Jun depan. – UTUSAN










