KANGAR: Demi tanggungjawab menjaga perairan dan kedaulatan negara, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak kisah bertugas menjaga keselamatan negara di perairan pada Aidilfitri.
Malah, menyambut 1 Syawal di tengah laut sudah menjadi perkara biasa bagi anggota Zon Maritim Kuala Perlis meskipun jauh di sudut hati terdetik rasa keinginan menyambut lebaran bersama insan tersayang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Bintara Muda Maritim, Shoharni @ Mohd. Suhaimi Embong, 53, berkata, lebih 10 kali dia menyambut lebaran di perairan dalam tempoh 18 tahun berkhidmat dengan Maritim Malaysia.
Bapa kepada tujuh anak berusia tiga hingga 22 tahun itu berkata, dia pernah menitiskan air mata di pagi Syawal apabila terkenang keluarga di kampung.
Bagaimanapun Shoharni dari Kuala Terengganu memberitahu, rasa kesayuan itu perlu dilupakan demi tanggungjawab yang lebih besar mengekang aktiviti jenayah di perairan negara.
“Pernah satu ketika semasa bertugas di Johor. Sebelum solat sunat Aidilfitri, saya berasa sayu sehingga menitiskan air mata kerana tidak dapat bersama meraikan lebaran dengan keluarga tersayang.
“Bagaimanapun, isteri dan anak-anak memahami tugas saya. Sebelum berkahwin saya sudah menerangkan mengenai kerja saya,” katanya ketika ditemui semasa melakukan rondaan di perairan Kuala Perlis di sini baru-baru ini.
Tambah Shoharni, menjadi kelaziman selepas solat Aidilfitri, dia membuat panggilan video bersama keluarga.
“Kalau tidak balik beraya, kami akan buat panggilan video terlebih dahulu dan saling bermaaf-maafan seisi keluarga. Walaupun tak dapat pulang pada raya pertama, kami pulang juga pada hari-hari berikutnya untuk sambut raya bersama,” jelasnya.
Dalam pada itu ,Laskar Kelas I Maritim, Noorfazrul Akmal Mohamad Noor, 31, berkata, tahun ini adalah kali keempat dia bertugas di Aidilfitri.
Katanya, selain keluarga, antara perkara yang paling dirindukan pada Aidilfitri adalah menikmati ketupat dimasak ibunya.
“Semasa bertugas di Terengganu dulu, walaupun ada kawan-kawan, masakan dan air tangan ibu memang lain daripada yang lain serta tiada tolok bandingnya.
“Sepanjang Ramadan, berbuka puasa di tengah laut adalah perkara biasa bagi kami walaupun kini saya sudah kembali bertugas di kampung halaman sendiri,” jelasnya. – UTUSAN