KUALA SELANGOR: Seorang penduduk di Kampung Tok Adam di sini dia terus melaungkan azan saat melihat bumbung rumah keluarga mentuanya kelihatan ‘berombak’ ketika dibadai ribut dalam kejadian awal pagi semalam.
Kanor Dony Misran, 43, ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, ketika kejadian dia sedang menjaga bapa mentuanya yang sedang terlantar akibat angin ahmar, tidak jauh dari rumahnya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia yang masih belum tidur tiba-tiba mendengar bunyi deruan angin kuat berserta hujan lebat sehingga menyebabkan bumbung rumah hampir terbang.
“Sekuat-kuat hati saya laungkan azan tanpa henti sebab saya lihat bumbung rumah turun naik macam hendak tercabut. Saya turut risaukan ahli keluarga dan bapa mentua yang sedang terlantar, mujur tidak berlaku apa-apa kerosakan dan kecederaan.
“Cuma rumah saya yang alami kerosakan pada bumbung dan dinding rumah. Ketika kejadian saya bimbang dengan keadaan rumah sendiri, tetapi tak boleh tinggalkan bapa mentuan sendirian.
“Jadi, bila saya balik kira-kira pukul 8 pagi memang sudah agak, mesti ada yang rosak,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Tanjong Karang.
Beberapa kawasan di sekitar Tanjong Karang seperti Kampung Sungai Burong, Kampung Sungai Sireh, Kampung Sungai Tengi Darat Kanan dan Kampung Sawah Sempadan dilanda ribut menyebabkan sekurang-kurangnya 50 rumah alami kerosakan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, memaklumkan lebih 100 penduduk di kampung-kampung berkenaan hadir ke Balai Polis Tanjong Karang untuk membuat laporan.
Sementara itu, penduduk di Blok O, Kampung Sawah Sempadan, Salleh Mustaram, 86, memberitahu dia bersyukur isterinya Sumi Sarmon, 85 yang terlantar kerana keuzuran dan dua anaknya pulang beraya terselamat dalam kejadian ribut itu.
Dalam kejadian itu, bumbung bahagian beranda dan ruang tamu musnah diterbangkan ribut sehingga 30 meter menyebabkan hujan mencurah membasahi perabot dan barangan elektrik dalam rumahnya. – UTUSAN










