PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat berhubung kewujudan wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya wujud kartel mengawal harga dan pengeluaran ayam setelah menyedari terdapat laporan bahawa wujud pihak mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.
Beliau menambah Peguam Negara juga dipanggil pada Mesyuarat Kabinet pada hari ini dan telah menasihatkan Kabinet untuk mengguna pakai di bawah Penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat sebarang aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam.
“Tindakan boleh diambil di bawah Akta tersebut dan lesen mereka juga boleh dibatalkan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974. – UTUSAN










