KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dikritik kerana terus meminta rakyat Kedah ‘bersabar’ dengan masalah ketiadaan bekalan air di negeri itu dan bukannya mencari penyelesaian bagi menyelesaikan kesusahan penduduk.
Ini kerana sikap sabar rakyat Kedah tidak dapat dibendung lagi kerana krisis air di negeri itu sudah berlarutan sejak dua dekad tetapi sehingga sekarang belum ada strategi penyelesaian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S. Piarapakaran berkata, kerajaan negeri sepatutnya berterus-terang kepada rakyat tentang situasi bekalan air negeri dan tampil dengan pelan-pelan tersusun mengikut garis masa yang dirancang.
Menurut beliau, syarikat air seperti Syarikat Air Darul Aman (SADA) perlu menyediakan pelan perniagaan untuk tempoh 30 tahun yang akan diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang berperanan dalam mengawal selia industri perkhidmatan air serta disusuli dengan pelan pelaksanaan bagi tempoh setiap tiga tahun.
“Ini mestilah dengan menghantar pelan 30 tahun, yang menyatakan rancangan atau projek-projek untuk menyelesaikan masalah air. Daripada meminta rakyat terus bersabar, kenapa tidak terus-terang sahaja contohnya apakah projek-projek yang akan disusuli dan berapa lama pula tempoh yang akan diambil dan masalah mana satu yang boleh diselesaikan dahulu?
“Kerajaan perlu lihat di manakah zon masalah berlaku seperti masalah kawasan yang mempunyai tekanan air rendah, masalah loji bekalan air tidak terawat, masalah air tidak terhasil, kerajaan perlu lihat dan struktur semula. Lebih baik terangkan supaya rakyat boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Muhammad Sanusi kelmarin yang meminta rakyat negeri ini bersabar dengan masalah bekalan air dihadapi mereka terutama di kawasan kritikal.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, masalah bekalan air di sesuatu kawasan tidak akan berlaku jika tiada mana-mana pihak mengganggu kawasan tadahan air.
Menegaskan mengenai masalah air telah diperjuangkannya sejak sekian lama walaupun terpaksa berdepan tindakan undang-undang, kata beliau, sikap segelintir pihak tidak menghargai khazanah alam mengakibatkan rakyat menerima padah akibat tindakan berkenaan.
“Ini bukan lagi soal sabar atau tidak sabar, tetapi kena cari jalan penyelesaian terbaik. Saya dari dahulu lagi cakap, kalau kacau kawasan tadahan air, inilah akibatnya,” katanya.
Sementara itu, penduduk di Negeri Kedah terutamanya di kawasan yang sering terjejas bekalan air mendakwa mereka semakin hilang sabar.
Malah penduduk di beberapa kawasan di Merbok mendakwa mereka telah berhadapan dengan masalah bekalan air sejak lebih 10 tahun lalu dan tidak pasti sampai bila perlu bersabar.
Penduduk juga mengakui mereka bosan dengan jawapan sama yang diberikan oleh kerajaan negeri berhubung masalah bekalan air.
Seorang penduduk Kampung Kuala Segantang Garam, Rusni Mat Isa, 56, berkata, kerajaan negeri sering memaklumkan krisis air di negeri ini akan selesai apabila beberapa projek menaik taraf loji rawatan air (LRA) siap selepas ini.
Bagaimanapun menurutnya, penduduk menganggap kenyataan tersebut sebagai janji politik yang tidak berkesudahan.
“Sepatutnya kerajaan negeri dan SADA (Syarikat Air Darul Aman) mempunyai perancangan yang rapi dalam usaha mengatasi gangguan bekalan air di kawasan terjejas.
“Sebaliknya, penduduk di kawasan terjejas dibiarkan tanpa mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Muhamad Hakimi Halim, 29, pula berkata, kerajaan sepatutnya memastikan tidak berlaku gangguan bekalan air sehingga menjejaskan penduduk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kami sebenarnya berhadapan masalah ini bukan dalam tempoh yang singkat sebaliknya telah lama berlarutan dan tidak lagi mampu bersabar.
“Selain perlu bersengkang mata menadah air dari lewat malam hingga awal pagi, kami turut perlu menjelaskan bil sedangkan air sering tiada,” katanya. – UTUSAN










