PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya berhubung kematian pelajar perempuan S. Vinosiny dan memberikan penjelasan terperinci kepada keluarga mangsa dan umum.
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau bersetuju dengan pandangan pihak yang meminta pihak UUM supaya mendedahkan perincian berkenaan insiden tersebut bagi mengelakkan spekulasi dalam kalangan mahasiswa.
“Saya memahami kegelisahan dan keluhan bapa pelajar itu, R, Sivakumar mengenai cara UUM mengendalikan maklumat dan ketelusan berkenaan sebab kematian anaknya.
“Sebagai seorang bapa, beliau berhak untuk mendapatkan penjelasan mengenai punca renjatan elektrik tersebut, kerana jika ia berpunca akibat masalah infrastruktur di universiti, sudah tentu beliau tidak mahu peristiwa tersbeut berulang kepada siswa yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) UUM di Sintok itu dilaporkan meninggal dunia di universiti tersebut pada minggu lalu.
Dalam pada itu, Maszlee merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berhubung kematian tersebut dan berharap mereka diberikan kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian yang besar ini. – UTUSAN