KPDNHEP Kelantan serbu rumah simpan stok minyak peket, tepung secara haram
Oleh YATIMIN ABDULLAH/pix
TANAH MERAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan menyerbu sebuah rumah yang dijadikan sebagai stor simpanan minyak masak peket dan tepung gandum di Kampung Bukit Merah Dalam di sini, semalam.
Dalam serbuan pukul 10 pagi itu, pihak berkuasa berjaya merampas 408 kilogram minyak masak peket dan 840 kilogram tepung gandum dengan nilai keseluruhan RM3,120.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesan sah untuk menyimpan barangan kawalan dalam kuantiti yang banyak.
Menurutnya, serbuan itu turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
“Pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut telah menemukan minyak masak paket bersubsidi seberat 408 kilogram di bawah garaj dalam kawasan rumah berkenaan.
“Pada masa sama, kita turut ditemui 840 kilogram tepung gandum. Serbuan ini dilakukan ini sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata Aswadi, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melanggar undang-undang terutamanya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi.
“Kami akan terus mempergiatkan lagi kerjasama dengan agensi kawalan sempadan dalam usaha membendung penyeludupan,” ujarnya.- UTUSAN










